TINDAKAN SETELAH MENDAPAT SURAT TAWARAN PELANTIKAN PPP DG41 OLEH MOHD AZRINSYAH BIN ABD AZIZ

Assalamulaikum dan Salam Sejahtera.

Tahniah diucapkan kepada calon berjaya temu duga Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41. Alhamdulillah. Tumpang gembira buat kalian bakal guru baharu.

Berikut merupakan tindakan yang perlu anda lakukan setelah mendapat tawaran lantikan PPP DG41 oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran.

1) Muat turun Surat Tawaran Pelantikan dari laman web SPP. Surat tawaran akan dipaparkan di laman web SPP selama 6 minggu sahaja. Sekiranya terdapat sebarang kesilapan alamat pada surat tawaran tersebut, calon-calon adalah dimohon untuk menghantar emel kepada alamat emel iaitu guru@spp.gov.my

Sila kemukakan alamat yang betul beserta nombor kad pengenalan dan nombor telefon untuk dihubungi kepada emel tersebut. SPP akan menghubungi calon apabila surat tawaran tersebut telah dikemaskini dan boleh dicetak semula.

2) Muat turun dokumen Pakej Setuju Terima Tawaran di pautan >>https://www.spp.gov.my/ms/perkhidmatan/muat-turun/dokumen-pakej-setuju-terima-pstt<< iaitu ;

3) Lengkapkan kesemua dokumen Pakej Setuju Terima Tawaran. Berikut panduan mengisi :
  • Surat Setuju Terima Tawaran Pelantikan : Sila lengkapkan ruangan di perenggan 1 sahaja. Ruangan yang lain perlu diisi setelah lapor diri ke sekolah.
  • Surat Aku Janji : Sila lengkapkan ruangan Nama dan No. KP pengenalan sahaja. Ruangan yang lain perlu diisi setelah lapor diri ke sekolah. Anda akan membuat aku janji dihadapan Pengetua/Pengarah sebelum menandatangani surat aku janji.
  • Borang Kesihatan : Sila lengkapkan ruangan di Bahagian A hingga C manakala D hingga F akan dilengkapkan oleh Pegawai Perubatan. Perlu diingatkan, Bahagian C perlu dilengkapkan dihadapan pegawai gred 41 ke atas yang BUKAN merupakan pegawai perubatan (Pihak yang mengisi Bahagian D hingga F). Anda perlu membawa Surat Tawaran Pelantikan semasa membuat membuat pemeriksaan kesihatan. Pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan di Klinik Kesihatan kerajaan ataupun swasta. Anda tidak perlu mengambil imbasan X Tray, hanya ujian air kencing dan beberapa pemeriksaan fizikal sahaja. Saya membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Ampang secara percuma dan hanya mengambil masa 3 jam sahaja.
  • Akaun berkanun : Sila lengkapkan nama, no. KP dan alamat di ruangan atas dan nama sahaja di ruangan bawah. Selebihnya akan diisi sendiri oleh Pesuruhjaya Sumpah. Saya hanya perlu membayar Rm3 untuk mendapatkan tandatangan Pesuruhjaya Sumpah Kuala Lumpur - Habsah Binti Kassim.

4) Sediakan sekurang-kurangnya 2 salinan dokumen berikut dan disahkan oleh pegawai gred 41 ke atas ;
  • Kad pengenalan
  • Surat lahir
  • Sijil SPM
  • Transkrip akademik
  • Sijil Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah (sekiranya ada)
  • Penyata maklumat KWSP (Untuk potongan KWSP). Sekiranya tidak mempunyai akaun KWSP, anda boleh membuka akaun di cawangan KWSP dan membawa surat tawaran pelantikan.
  • Penyata maklumat Bank (Untuk gaji)
  • Surat tawaran pelantikan (Tidak perlu disahkan)
  • Gambar berukuran passport (Sebagai persediaan)
  • Kad pengenalan Ibu dan Bapa (Sebagai persediaan bagi mereka yang mendapat penempatan di luar wilayah)

5) Tindakan seterusnya adalah menunggu pengumuman daripada KPM untuk mengemaskini e-Graduan. Boleh rujuk laman web KPM di pautan >>https://www.moe.gov.my/index.php/my/<< untuk semakan pengumuman. Fungsi e-Graduan adalah untuk mengemaskini maklumat peribadi, memilih dan menyemak negeri penempatan. Tempoh yang diberikan untuk mengemaskini e-Graduan adalah 2 minggu. Pastikan anda mengisi maklumat dengan lengkap dan betul. Sekiranya terdapat kesilapan maklumat, segera berhubung dengan pihak e-Graduan. Maklumat yang amat penting untuk diambil perhatian ialah maklumat peribadi, sijil nikah (bagi mereka yang sudah berkahwin), sijil ijazah, maklumat opsyen/universiti dan negeri pilihan.

6) Keputusan penempatan negeri kebiasaannya akan dimaklumkan selepas sebulan tarikh akhir kemaskini e-Graduan (bergantung kepada KPM) dan lapor diri akan dilakukan dalam tempoh 2 hingga 3 minggu dari tarikh keputusan penempatan.

Tindakan setelah mendapat penempatan saya akan kongsikan di dalam blog seterusnya. Insyaallah. Tahniah sekali lagi kepada anda!

Sekian, terima kasih.

Mohd Azrinsyah bin Abd Aziz
ISMP Multimedia dengan Kepujian
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

CARA MUDAH BAYAR PTPTN MENGGUNAKAN AKAUN 2 KWSP

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ini saya nak berkongsi pengalaman saya membayar tunggakan PTPTN menggunakan akaun 2 KWSP saya.

Pertama sekali, pastikan anda sudah mendaftar i-Akaun KWSP. Bagaimana nak daftar akaun i-Akaun KWSP? Anda perlu ke kiosk KWSP atau kaunter KWSP untuk mendapatkan ID pengguna dan Kata Laluan sementara.

Login seperti biasa di laman web https://secure.kwsp.gov.my/secured/member/login dan ikut arahan yang diberikan.


Kedua, klik tab Pengeluaran.


Pilih butang Permohonan baru dan Jenis Pengeluaran : Pendidikan. Kemudian, lengkapkan maklumat anda.



Klik butang Seterusnya dan lengkapkan maklumat No. Rujukan Pelajar dan Amaun Dipohon untuk membuat pembayaran PTPTN anda.


Klik butang Seterusnya dan semak kembali maklumat yang telah anda lengkapkan. Kemudian, klik butang Hantar untuk menghantar permohonan anda.


Permohonan anda perlu disahkan oleh pihak PTPTN. Kebiasaannya tempoh pengesahan anda diproses adalah dalam seminggu. Permohonan saya telah disahkan dalam tempoh 3 hari sahaja. Pihak KWSP akan memaklumkan permohonan anda telah disahkan melalui SMS atau melalui Mesej Sekuriti i-Akaun dan tab Pengeluaran.


Tindakan seterusnya, anda perlu menyerahkan dokumen sokongan dan pengecaman cap ibu jari di kaunter KWSP.

Anda perlu mencetak borang permohonan anda di tab pengeluaran bersama dokumen ASAL/SALINAN yang dinyatakan dalam Mesej Sekuriti iaitu :
1. Salinan Sijil Ijazah Sarjana Muda.
2. Salinan Transkrip Akademik
3. Surat tunggakan PTPTN (Jika Berkaitan).

Sekiranya salinan dokuman yang anda bawa telah disahkan maka anda tidak perlu membawa dokumen asal.

Pengalaman saya dalam proses penyerahan dokumen dan pengecaman cap ibu jari di kaunter KWSP tidak sampai 15 minit kerana saya diberikan kaunter express.

Saya juga diberikan salinan pengesahan permohonan pengeluaran. Saya dimaklumkan oleh pihak KWSP bahawa proses pembayaran kepada pihak PTPTN mengambil masa 7 hari. Pihak KWSP akan memaklumkan pembayaran yang berjaya melalui SMS atau anda boleh menyemak sendiri baki PTPTN di laman web PTPTN.

Berdasarkan pengalaman saya, proses pengeluaran ini hanya mengambil masa 3 hari sahaja. Mudah bukan? Jom bayar hutang!

PERSEDIAAN TEMU DUGA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN GRED DG41 (PPP DG41) OLEH MOHD AZRINSYAH BIN ABD AZIZ - PERJALANAN SESI TEMU DUGA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Bahagian ini saya akan kongsikan pengalaman perjalanan sesi temu duga saya pada 07:30 pagi, 24/04/2018 (Selasa).

1) Pendaftaran bermula pukul 8:00 pagi.
2) Kami dikehendaki untuk duduk di kerusi yang disediakan berhadapan bilik temu duga.
3) Pihak SPP akan memanggil nama calon berdasarkan kumpulan kos untuk menyemak kehadiran dan menyediakan borang permarkahan + dokumen calon.
4) Antara dokumen yang akan diambil oleh pihak SPP ialah, borang senarai semak + dokumen yang dinyatakan dalam senarai semak, buku RPH dan fail.
5) Selepas itu, pihak SPP mengarahkan calon untuk duduk semula di kerusi untuk menunggu giliran dipanggil ke dalam bilik temu duga.
6) Apabila tiba giliran anda bersama kumpulan kos, calon akan dipanggil untuk mengambil fail dan buku RPH untuk dibawa masuk ke dalam bilik temu duga.

Ikuti langkah-langkah ini sebelum anda melangkah masuk ke dalam bilik temu duga.
1) Calon paling hadapan perlu mengetuk pintu dan memberi salam sebelum masuk ke bilik temu duga.
2) Apabila dibenarkan, barulah kesemua calon masuk.
3) Calon perlu membawa fail dan buku RPH ke tempat duduk yang disediakan sehingga diarahkan untuk meletakkan fail dan buku RPH tersebut ke meja yang diarahkan. Susun buku dan RPH mengikut kedudukan calon.
4) Kemudian, calon perlu terus berdiri di tempat duduk yang disediakan sehingga diarahkan duduk atau meminta izin untuk duduk.
5) Sekiranya panel mengarahkan untuk terus berdiri, calon hendaklah bersedia untuk dinilai pemakaian dan penampilan.
6) Setelah penilaian dilakukan, barulah calon duduk dan mengucapkan terima kasih.
7) Pada waktu inilah sesi temu duga yang sebenarnya berjalan.
8) Calon diminta untuk memperkenalkan diri dan menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh panel SPP dan guru cemerlang.
9) Calon dinasihatkan untuk sentiasa senyum dan sentiasa bersedia menjawab soalan.
10) Calon perlu menjawab soalan yang diajukan melalui eye-contact, mengikut urutan kedudukan atau secara rawak.
11) Calon dinasihatkan untuk menjawab soalan yang ditanya dan tidak melalut. Yakin. Tidak terlalu dominan dan tunjuk pandai. Membantu rakan lain sekiranya perlu.
12) Setelah tamat sesi temu duga, calon hendaklah berdiri dan mengucapkan terima kasih kepada panel. Jika dibenarkan, calon boleh bersalam bersama panel sebelum melangkah keluar bilik temu duga.

*Anda digalakkan untuk hadir 1 jam awal sebelum sesi temu duga dijalankan. Hal ini penting supaya anda dapat mengambil masa untuk menyusun dokumen-dokumen yang diperlukan dan merapikan diri.
*Anda juga dinasihatkan untuk mengambil sarapan pagi atau makan tengah hari agar tidak kekok dan perut berbunyi.

Berikut merupakan pengalaman perjalanan sesi temu duga saya tempoh hari. Diharap perkongsian ini dapat membantu para calon yang akan menghadiri sesi temu duga PPP DG41.

Mohd Azrinsyah Bin Abd Aziz
ISMP Multimedia dengan Kepujian
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

PERSEDIAAN TEMU DUGA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN GRED DG41 (PPP DG41) OLEH MOHD AZRINSYAH BIN ABD AZIZ - TATACARA PEMAKAIAN TEMU DUGA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Bahagian ini saya akan kongsikan bagaimana tatacara pemakaian semasa menghadiri temu duga Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41.

BAGI CALON LELAKI
1) Rambut hendaklah kemas dan disikat rapi. Pastikan rambut pendek dan tidak melepasi kolar baju di belakang.
2) Memakai baju kemeja lengan panjang.
3) Bertali leher
4) Memakai tanda nama
5) Seluar hitam atau warna biru gelap
6) Tali pinggang hitam
7) Memakai blazer/kot berwarna hitam/biru gelap (sama dengan warna seluar). Pemakaian blazer/kot tidak wajib namun digalakkan supaya kelihatan lebih kemas dan professional.
8) Berkasut hitam dan sarung kaki hitam.

BAGI CALON WANITA
1) Baju kurung
2) Memakai tanda nama
3) Berkasut hitam dan sarung kaki hitam.
4) Bagi bukan muslim, anda digalakkan mengikat rambut anda dan memastikan rambut kelihatan kemas.
5) Pemakaian blazer/kot adalah tidak digalakkan kepada calon yang memakai baju kurung kerana baju kurung sudah dikira formal. Rujuk pekeliling daripada KPM.

Calon dinasihatkan untuk sentiasa kelihatan kemas dan rapi walaupun giliran sesi temu duga berlangsung pada petang. Jika perlu, anda digalakkan untuk memakai wangian NAMUN jangan berlebih-lebihan.

Ini gambar saya semasa temu duga.

Gambar saya bersama calon lain.

Pada bahagian seterusnya, saya akan kongsikan bagaimana perjalanan sesi temu duga dari awal sehingga tamat supaya dapat memberi gambaran dan persediaan kepada calon yang akan ditemu duga.

Sekian, terima kasih.

Mohd Azrinsyah bin Abd Aziz
ISMP Multimedia dengan Kepujian
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

PERSEDIAAN TEMU DUGA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN GRED DG41 (PPP DG41) OLEH MOHD AZRINSYAH BIN ABD AZIZ - BAHAGIAN 2

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Bahagian 2 ini saya akan kongsikan persediaan fail temu duga Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 (PPP DG41).

Sebenarnya, susunan dan kekemasan fail temu duga ini bergantung kepada kreativiti calon. Apa yang paling penting adalah dokumen asal seperti yang dinyatakan dalam borang senarai semak dokumen ada dan disusun di bahagian depan fail. Diikuti dokumen-dokumen lain.

Calon dinasihatkan untuk menggunakan fail berwarna hitam dan letakkan penanda fail anda dengan meletakkan nama dan no. kad pengenalan di tepi fail atau meletakkan gambar dan maklumat anda di hadapan fail (bergantung kepada calon).

Berikut merupakan susunan fail saya semasa temu duga :
1. Slip panggilan temu duga
2. Borang senarai semak dokumen beserta gambar passport
3. Resume
4. Kad pengenalan
5. Sijil Kelahiran
6. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
7. Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
8. Sijil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
9. Pengiktirafan Kelayakan
10. Transkrip akademik
11. Transkrip kokurikulum universiti
12. Sijil penglibatan universiti
13. Laporan Penilaian Kokurikulum Sekolah
14. Sijil penglibatan sekolah
15. Surat tawaran ISMP (Pilihan)
16. Surat tamat pengajian (Pilihan)
17. Sijil tamat persekolahan (Pilihan)
18. Maklumat Tambahan (Pilihan)
19. Laporan penilaian latihan mengajar (Pilihan)
20. Sijil MUET (Pilihan)

Ini gambar-gambar fail temu duga saya :
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 



Insyaallah, saya akan kongsikan soalan-soalan yang ditanya kepada kumpulan saya di bahagian 3.

Mohd Azrinsyah bin Abd Aziz
ISMP Multimedia dengan Kepujian
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

PERSEDIAAN TEMU DUGA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN GRED DG41 (PPP DG41) OLEH MOHD AZRINSYAH BIN ABD AZIZ - BAHAGIAN 1

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sedikit perkongsian untuk calon yang akan menduduki temu duga Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 (PPP DG41).

Alhamdulillah. Saya telah menduduki temu duga PPP DG41 pada 24 April 2018 (Selasa), hari kedua bagi calon Sabah. Persediaan yang amat singkat kerana tempoh makluman temu duga dengan hari temu duga tidak sampai seminggu.

Berikut merupakan langkah persediaan dokumen temu duga.

1. Sila cetak slip panggilan temu duga dan memastikan Nama dan No. Kad Pengenalan anda adalah betul. Sebarang kesilapan, berhubung segera dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

2. Sila cetak Senarai Semak Dokumen Temu Duga Bagi Permohonan Ke Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Lampiran A).

3. Lengkapkan borang Lampiran A beserta gambar terkini berukuran passport.

4. Lengkapkan dokumen 1-7 seperti yang dinyatakan dalam senarai semak dan buat salinan. Pastikan setiap salinan telah disahkan oleh kumpulan A.

5. Sebagai tambahan, sila buat salinan 5 sijil penglibatan atau pencapaian kokurikulum terbaik anda dan disahkan oleh kumpulan A.

6. Kepilkan lampiran A, salinan dokumen 1-7 dan salinan penglibatan menggunakan klip kertas atau masukkan ke dalam sampul untuk memudahkan anda memberikan dokumen tersebut kepada pegawai SPP.

7. Bagi buku Rancangan Pengajaran Harian pula, pastikan ia lengkap dan memudahkan panel menyemak laporan pengajaran anda.

8. Kesemua dokumen tersebut akan disemak oleh pegawai SPP bersama dokumen asal.

*Perlu diingatkan, dokumen yang dimasukkan ke dalam sampul hanya untuk memudahkan anda menyerahkan dokumen-dokumen tersebut kepada pegawai SPP apabila diminta (asingkan dokumen siap-siap). Pihak SPP tidak akan mengambil sampul tersebut.

Saya akan kongsikan persediaan fail temu duga pada bahagian 2 pula.

Mohd Azrinsyah bin Abd Aziz
ISMP Multimedia dengan Kepujian
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)