Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Hari ini saya nak berkongsi pengalaman saya membayar tunggakan PTPTN menggunakan akaun 2 KWSP saya.
Pertama sekali, pastikan anda sudah mendaftar i-Akaun KWSP. Bagaimana nak daftar akaun i-Akaun KWSP? Anda perlu ke kiosk KWSP atau kaunter KWSP untuk mendapatkan ID pengguna dan Kata Laluan sementara.
Login seperti biasa di laman web https://secure.kwsp.gov.my/secured/member/login dan ikut arahan yang diberikan.
Kedua, klik tab Pengeluaran.
Pilih butang Permohonan baru dan Jenis Pengeluaran : Pendidikan. Kemudian, lengkapkan maklumat anda.
Klik butang Seterusnya dan lengkapkan maklumat No. Rujukan Pelajar dan Amaun Dipohon untuk membuat pembayaran PTPTN anda.
Klik butang Seterusnya dan semak kembali maklumat yang telah anda lengkapkan. Kemudian, klik butang Hantar untuk menghantar permohonan anda.
Permohonan anda perlu disahkan oleh pihak PTPTN. Kebiasaannya tempoh pengesahan anda diproses adalah dalam seminggu. Permohonan saya telah disahkan dalam tempoh 3 hari sahaja. Pihak KWSP akan memaklumkan permohonan anda telah disahkan melalui SMS atau melalui Mesej Sekuriti i-Akaun dan tab Pengeluaran.
Tindakan seterusnya, anda perlu menyerahkan dokumen sokongan dan pengecaman cap ibu jari di kaunter KWSP.
Anda perlu mencetak borang permohonan anda di tab pengeluaran bersama dokumen ASAL/SALINAN yang dinyatakan dalam Mesej Sekuriti iaitu :
1. Salinan Sijil Ijazah Sarjana Muda.
2. Salinan Transkrip Akademik
3. Surat tunggakan PTPTN (Jika Berkaitan).
Sekiranya salinan dokuman yang anda bawa telah disahkan maka anda tidak perlu membawa dokumen asal.
Pengalaman saya dalam proses penyerahan dokumen dan pengecaman cap ibu jari di kaunter KWSP tidak sampai 15 minit kerana saya diberikan kaunter express.
Saya juga diberikan salinan pengesahan permohonan pengeluaran. Saya dimaklumkan oleh pihak KWSP bahawa proses pembayaran kepada pihak PTPTN mengambil masa 7 hari. Pihak KWSP akan memaklumkan pembayaran yang berjaya melalui SMS atau anda boleh menyemak sendiri baki PTPTN di laman web PTPTN.
Berdasarkan pengalaman saya, proses pengeluaran ini hanya mengambil masa 3 hari sahaja. Mudah bukan? Jom bayar hutang!
No comments:
Post a Comment