TINDAKAN SETELAH MENDAPAT SURAT TAWARAN PELANTIKAN PPP DG41 OLEH MOHD AZRINSYAH BIN ABD AZIZ

Assalamulaikum dan Salam Sejahtera.

Tahniah diucapkan kepada calon berjaya temu duga Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41. Alhamdulillah. Tumpang gembira buat kalian bakal guru baharu.

Berikut merupakan tindakan yang perlu anda lakukan setelah mendapat tawaran lantikan PPP DG41 oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran.

1) Muat turun Surat Tawaran Pelantikan dari laman web SPP. Surat tawaran akan dipaparkan di laman web SPP selama 6 minggu sahaja. Sekiranya terdapat sebarang kesilapan alamat pada surat tawaran tersebut, calon-calon adalah dimohon untuk menghantar emel kepada alamat emel iaitu guru@spp.gov.my

Sila kemukakan alamat yang betul beserta nombor kad pengenalan dan nombor telefon untuk dihubungi kepada emel tersebut. SPP akan menghubungi calon apabila surat tawaran tersebut telah dikemaskini dan boleh dicetak semula.

2) Muat turun dokumen Pakej Setuju Terima Tawaran di pautan >>https://www.spp.gov.my/ms/perkhidmatan/muat-turun/dokumen-pakej-setuju-terima-pstt<< iaitu ;

3) Lengkapkan kesemua dokumen Pakej Setuju Terima Tawaran. Berikut panduan mengisi :
  • Surat Setuju Terima Tawaran Pelantikan : Sila lengkapkan ruangan di perenggan 1 sahaja. Ruangan yang lain perlu diisi setelah lapor diri ke sekolah.
  • Surat Aku Janji : Sila lengkapkan ruangan Nama dan No. KP pengenalan sahaja. Ruangan yang lain perlu diisi setelah lapor diri ke sekolah. Anda akan membuat aku janji dihadapan Pengetua/Pengarah sebelum menandatangani surat aku janji.
  • Borang Kesihatan : Sila lengkapkan ruangan di Bahagian A hingga C manakala D hingga F akan dilengkapkan oleh Pegawai Perubatan. Perlu diingatkan, Bahagian C perlu dilengkapkan dihadapan pegawai gred 41 ke atas yang BUKAN merupakan pegawai perubatan (Pihak yang mengisi Bahagian D hingga F). Anda perlu membawa Surat Tawaran Pelantikan semasa membuat membuat pemeriksaan kesihatan. Pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan di Klinik Kesihatan kerajaan ataupun swasta. Anda tidak perlu mengambil imbasan X Tray, hanya ujian air kencing dan beberapa pemeriksaan fizikal sahaja. Saya membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Ampang secara percuma dan hanya mengambil masa 3 jam sahaja.
  • Akaun berkanun : Sila lengkapkan nama, no. KP dan alamat di ruangan atas dan nama sahaja di ruangan bawah. Selebihnya akan diisi sendiri oleh Pesuruhjaya Sumpah. Saya hanya perlu membayar Rm3 untuk mendapatkan tandatangan Pesuruhjaya Sumpah Kuala Lumpur - Habsah Binti Kassim.

4) Sediakan sekurang-kurangnya 2 salinan dokumen berikut dan disahkan oleh pegawai gred 41 ke atas ;
  • Kad pengenalan
  • Surat lahir
  • Sijil SPM
  • Transkrip akademik
  • Sijil Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah (sekiranya ada)
  • Penyata maklumat KWSP (Untuk potongan KWSP). Sekiranya tidak mempunyai akaun KWSP, anda boleh membuka akaun di cawangan KWSP dan membawa surat tawaran pelantikan.
  • Penyata maklumat Bank (Untuk gaji)
  • Surat tawaran pelantikan (Tidak perlu disahkan)
  • Gambar berukuran passport (Sebagai persediaan)
  • Kad pengenalan Ibu dan Bapa (Sebagai persediaan bagi mereka yang mendapat penempatan di luar wilayah)

5) Tindakan seterusnya adalah menunggu pengumuman daripada KPM untuk mengemaskini e-Graduan. Boleh rujuk laman web KPM di pautan >>https://www.moe.gov.my/index.php/my/<< untuk semakan pengumuman. Fungsi e-Graduan adalah untuk mengemaskini maklumat peribadi, memilih dan menyemak negeri penempatan. Tempoh yang diberikan untuk mengemaskini e-Graduan adalah 2 minggu. Pastikan anda mengisi maklumat dengan lengkap dan betul. Sekiranya terdapat kesilapan maklumat, segera berhubung dengan pihak e-Graduan. Maklumat yang amat penting untuk diambil perhatian ialah maklumat peribadi, sijil nikah (bagi mereka yang sudah berkahwin), sijil ijazah, maklumat opsyen/universiti dan negeri pilihan.

6) Keputusan penempatan negeri kebiasaannya akan dimaklumkan selepas sebulan tarikh akhir kemaskini e-Graduan (bergantung kepada KPM) dan lapor diri akan dilakukan dalam tempoh 2 hingga 3 minggu dari tarikh keputusan penempatan.

Tindakan setelah mendapat penempatan saya akan kongsikan di dalam blog seterusnya. Insyaallah. Tahniah sekali lagi kepada anda!

Sekian, terima kasih.

Mohd Azrinsyah bin Abd Aziz
ISMP Multimedia dengan Kepujian
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

CARA MUDAH BAYAR PTPTN MENGGUNAKAN AKAUN 2 KWSP

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ini saya nak berkongsi pengalaman saya membayar tunggakan PTPTN menggunakan akaun 2 KWSP saya.

Pertama sekali, pastikan anda sudah mendaftar i-Akaun KWSP. Bagaimana nak daftar akaun i-Akaun KWSP? Anda perlu ke kiosk KWSP atau kaunter KWSP untuk mendapatkan ID pengguna dan Kata Laluan sementara.

Login seperti biasa di laman web https://secure.kwsp.gov.my/secured/member/login dan ikut arahan yang diberikan.


Kedua, klik tab Pengeluaran.


Pilih butang Permohonan baru dan Jenis Pengeluaran : Pendidikan. Kemudian, lengkapkan maklumat anda.



Klik butang Seterusnya dan lengkapkan maklumat No. Rujukan Pelajar dan Amaun Dipohon untuk membuat pembayaran PTPTN anda.


Klik butang Seterusnya dan semak kembali maklumat yang telah anda lengkapkan. Kemudian, klik butang Hantar untuk menghantar permohonan anda.


Permohonan anda perlu disahkan oleh pihak PTPTN. Kebiasaannya tempoh pengesahan anda diproses adalah dalam seminggu. Permohonan saya telah disahkan dalam tempoh 3 hari sahaja. Pihak KWSP akan memaklumkan permohonan anda telah disahkan melalui SMS atau melalui Mesej Sekuriti i-Akaun dan tab Pengeluaran.


Tindakan seterusnya, anda perlu menyerahkan dokumen sokongan dan pengecaman cap ibu jari di kaunter KWSP.

Anda perlu mencetak borang permohonan anda di tab pengeluaran bersama dokumen ASAL/SALINAN yang dinyatakan dalam Mesej Sekuriti iaitu :
1. Salinan Sijil Ijazah Sarjana Muda.
2. Salinan Transkrip Akademik
3. Surat tunggakan PTPTN (Jika Berkaitan).

Sekiranya salinan dokuman yang anda bawa telah disahkan maka anda tidak perlu membawa dokumen asal.

Pengalaman saya dalam proses penyerahan dokumen dan pengecaman cap ibu jari di kaunter KWSP tidak sampai 15 minit kerana saya diberikan kaunter express.

Saya juga diberikan salinan pengesahan permohonan pengeluaran. Saya dimaklumkan oleh pihak KWSP bahawa proses pembayaran kepada pihak PTPTN mengambil masa 7 hari. Pihak KWSP akan memaklumkan pembayaran yang berjaya melalui SMS atau anda boleh menyemak sendiri baki PTPTN di laman web PTPTN.

Berdasarkan pengalaman saya, proses pengeluaran ini hanya mengambil masa 3 hari sahaja. Mudah bukan? Jom bayar hutang!