Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Bahagian ini saya akan kongsikan pengalaman perjalanan sesi temu duga saya pada 07:30 pagi, 24/04/2018 (Selasa).
1) Pendaftaran bermula pukul 8:00 pagi.
2) Kami dikehendaki untuk duduk di kerusi yang disediakan berhadapan bilik temu duga.
3) Pihak SPP akan memanggil nama calon berdasarkan kumpulan kos untuk menyemak kehadiran dan menyediakan borang permarkahan + dokumen calon.
4) Antara dokumen yang akan diambil oleh pihak SPP ialah, borang senarai semak + dokumen yang dinyatakan dalam senarai semak, buku RPH dan fail.
5) Selepas itu, pihak SPP mengarahkan calon untuk duduk semula di kerusi untuk menunggu giliran dipanggil ke dalam bilik temu duga.
6) Apabila tiba giliran anda bersama kumpulan kos, calon akan dipanggil untuk mengambil fail dan buku RPH untuk dibawa masuk ke dalam bilik temu duga.
Ikuti langkah-langkah ini sebelum anda melangkah masuk ke dalam bilik temu duga.
1) Calon paling hadapan perlu mengetuk pintu dan memberi salam sebelum masuk ke bilik temu duga.
2) Apabila dibenarkan, barulah kesemua calon masuk.
3) Calon perlu membawa fail dan buku RPH ke tempat duduk yang disediakan sehingga diarahkan untuk meletakkan fail dan buku RPH tersebut ke meja yang diarahkan. Susun buku dan RPH mengikut kedudukan calon.
4) Kemudian, calon perlu terus berdiri di tempat duduk yang disediakan sehingga diarahkan duduk atau meminta izin untuk duduk.
5) Sekiranya panel mengarahkan untuk terus berdiri, calon hendaklah bersedia untuk dinilai pemakaian dan penampilan.
6) Setelah penilaian dilakukan, barulah calon duduk dan mengucapkan terima kasih.
7) Pada waktu inilah sesi temu duga yang sebenarnya berjalan.
8) Calon diminta untuk memperkenalkan diri dan menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh panel SPP dan guru cemerlang.
9) Calon dinasihatkan untuk sentiasa senyum dan sentiasa bersedia menjawab soalan.
10) Calon perlu menjawab soalan yang diajukan melalui eye-contact, mengikut urutan kedudukan atau secara rawak.
11) Calon dinasihatkan untuk menjawab soalan yang ditanya dan tidak melalut. Yakin. Tidak terlalu dominan dan tunjuk pandai. Membantu rakan lain sekiranya perlu.
12) Setelah tamat sesi temu duga, calon hendaklah berdiri dan mengucapkan terima kasih kepada panel. Jika dibenarkan, calon boleh bersalam bersama panel sebelum melangkah keluar bilik temu duga.
*Anda digalakkan untuk hadir 1 jam awal sebelum sesi temu duga dijalankan. Hal ini penting supaya anda dapat mengambil masa untuk menyusun dokumen-dokumen yang diperlukan dan merapikan diri.
*Anda juga dinasihatkan untuk mengambil sarapan pagi atau makan tengah hari agar tidak kekok dan perut berbunyi.
Berikut merupakan pengalaman perjalanan sesi temu duga saya tempoh hari. Diharap perkongsian ini dapat membantu para calon yang akan menghadiri sesi temu duga PPP DG41.
Mohd Azrinsyah Bin Abd Aziz
ISMP Multimedia dengan Kepujian
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)